"Generasi Y tidak gemar mengikuti media arus perdana, mereka lebih gemar mengikuti media alternatif dimana informasinya tak dapat dipastikan kesahihannya"
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pengunjung Infinitesane Daily yang masih setia kalau ada. Sejujurnya memang saya dah susah nak mengemaskini blog ini. Featured Entry kat slider atas ni pun tak dikemaskini semenjak Infinitesane Daily diperkenalkan lagi. Hari ini Khamis, makanya ia adalah slot "Thursday Thriller". Pilihanraya hanya beberapa minggu sahaja lagi. Jadi saya berasa terpanggil untuk memberi pendapat saya terhadap isu ini.
Ayat diatas memang ada benarnya. Tapi kena tahu juga sebab apa mereka tak berminat untuk mengikuti arus perdana. Mereka tak berminat mengikuti media arus perdana kerana media arus perdana SANGAT TIDAK ADIL. Ini fakta. Sebelum saya meneruskan tulisan saya, saya ingin tekankan bahawa saya bukanlah seorang yang kuat menyokong mana-mana parti, atau dalam kata lain pengundi atas pagar. Tapi entri ini adalah untuk memberi peringatan kepada Barisan Nasional betapa mereka menuju kearah kebinasaan sekiranya mereka terus melakukan apa yang mereka lakukan sekarang.
Adalah lebih baik saya mulakan dengan suatu yang positif. Kerajaan bawah pimpinan Barisan Nasional bukanlah tak membuat kerja langsung. Mereka juga ada menjalankan tanggungjawab mereka sebagai kerajaan dengan sewajarnya. Bantuan-bantuan yang dijenamakan semula atas nama "1Malaysia" itu memang adalah tanggungjawab mereka sebagai kerajaan. Dana tersebut datangnya dari duit rakyat juga, bukanlah dana Najib Razak. Jadi, berterima kasihlah kepada pembayar-pembayar cukai, bukanlah Najib mahupun Barisan Nasional.
Saya akan memilih kerajaan yang dapat mengurus tadbir dana dari rakyat dan diterjemahkan dengan hasil yang dapat sama dinikmati rakyat. Melihat kempen-kempen Barisan Nasional untuk pilihan raya kali ini, membuatkan saya marah apabila dengan jelas mereka membazir wang dengan amaun yang cukup banyak. Adakah itu datang dari dana BN atau duit rakyat? Kalau dana BN, siapa taja? Iklan youtube, iklan di kaca televisyen, semuanya memerlukan dana yang sangat besar. Memang, saya tak membayar cukai secara langsung, tapi saya bayar cukai kerajaan bila saya membeli Dominos Pizza atau tempat-tempat lain. Tambahan lagi, saya dapat siri SMS yang berkempen untuk BN. Salah satunya adalah seperti di bawah. Nombor berkenaan adalah nombor persendirian. Jadi untuk menghantar mesej-mesej tersebut memerlukan kredit yang banyak. Siapa bagi dana? Lu pikir la sendiri.
Lihat sahaja di kaca televisyen. Suatu masa dahulu Rais Yatim ada memberitahu bahawa pembangkang dapat membentang manifesto mereka di RTM. Tapi tak boleh secara langsung. Kenapa? Kenapa bila Najib bentang manifesto, ada dua saluran televisyen menyiarkan secara langsung tapi tidak pembangkang? Rakyat dan generasi muda ingin melihat debat manifesto antara PR dan BN, supaya dapat menafsir secara langsung manifesto masing-masing. Barulah adil dan matang. Di Amerika boleh, kenapa tak boleh di Malaysia? Sebenarnya menurut pemerhatian saya yang tak arif ini, saya rasakan yang politik di Malaysia makin matang, tapi belum cukup matang. Rakyatnya sudah tak boleh ditipu semudah-mudahnya. Golongan muda tidak mudah digula-gulakan dengan ganjaran sepertimana dahulu kala. Mereka tahu dimana duit mereka disalurkan. Jadi kerajaan patutnya tak boleh lagi menggunakan duit rakyat sewenang-wenangnya.
Isu hudud, tolonglah jangan persenda hukum agama. Itu hukum Allah, jangan jadikan ianya bahan politik. Politik itu ada dalam Islam, tapi berdasarkan keadaan semasa, politik sekarang kotor. Manusialah yang mengotorkannya. Lihat sahaja iklan di "The Star". MCA menakut-nakutkan golongan bukan Islam, Cina khususnya dengan hukum hudud ini. BN pula kata kita belum bersedia untuk melaksanakan hukum hudud ini, tapi dimana usaha-usaha untuk memberi ilmu ini kepada rakyat supaya kita bersedia? Cakap sahaja tak guna, sila bertindak.
Hak keistimewaan Melayu. Ianya dilakukan supaya dapat menjaga kelangsungan orang Melayu. Pada masa yang sama, ia jugalah sebab kenapa Melayu jadi malas, tak berdaya saing dan banyak lagilah nilai-nilai negatif yang sinonim dengan melayu di Malaysia khususnya. Orang Melayu tak perlu berusaha keras, sebab mesti kerajaan bantu. Mereka Melayu, negara ini, tanah ini milik mereka. Mereka salah! INI SEMUA MILIK ALLAH SWT! JANGAN SOMBONG, NANTI ALLAH TARIK SEMUA NIKMAT BARU NAK MENYESAL. Saya sedar, saya juga menggunakan nikmat hak keistimewaan orang Melayu itu, tapi saya gunakan sebaiknya. Saya tak membazirkan keistimewaan tersebut. Sebab itulah orang Melayu terlalu paranoid apabila hak ini dijadikan isu. Tanpanya, Melayu akan hilang, di bumi Allah ini. Maaf Tuah, memang orang melayu tak segah dahulu, Melayu layu dalam nikmat.
Kenapa Melayu dahulu gah? Kerana dahulu Melayu meletakkan agama di tempat yang selayaknya. Sekarang? Tengoklah sendiri. Jadi, Islam sepatutnya diletakkan sebagai batu asas dalam pembangunan negara. Bukan Melayu, yang beri kuasa dan nikmat itu Allah, bukan Melayu.
Sampai sini dahulu, dah panjang benar saya menaip ni. Jumpa lagi di lain kali. Dari "1st time voter",
Wassalam,
K-tea