Posted by : Infinitesane 2.0 Monday 4 June 2012



Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pengunjung Infinitesane Daily. Ini adalah entri pertama dalam Bahasa Melayu semenjak Infinitesane Daily dilancarkan. Dalam "Mega Monday" hari ini saya ingin membincangkan tentang isu "Astro First".

Seperti biasa, saya rasa mungkin entri ini tidak panjang. Tetapi biasanya bila saya beritahu sesebuah entri itu tidak panjang, ia akan jadi panjang berjela juga. Tak apalah.

Hari ini saya ada terbaca satu kolum dan kolumn tersebut ditulis oleh Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar. Anda pernah tonton "Hantu Kak Limah Balik Rumah"? Yang bawa ambulan yang selalu cakap "bala ni, bala ni..." Ha, yang itulah orang yang saya maksudkan. Beliau menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap "Astro First" yang sering menayangkan filem-filem baru di pawagam.

~Salah faham~

Pada pendapat saya, beliau tidak pernah mencuba melanggan servis Astro First ini. Ini kerana, Astro First bukanlah seperti Astro Citra yang menayangkan filem-filem yang sudah lama di pasaran, tetapi Astro First menayangkan cerita-cerita baru dan sedang ditayangkan di pawagam. Dan filem yang ditayangkan tersebut hanya boleh ditonton selama dua hari, bukan seperti Astro Box Office yang juga perlu dilanggan tetapi ditayangkan berterusan selama sebulan. Astro First juga akan menggantikan filem-filem tersebut dengan filem-filem yang lain, maksudnya akan ada tamat tempoh pelanggan untuk melanggan sesebuah filem itu. Cadangan kolumnis itu untuk menunggu selama enam bulan selepas tarikh tayangan adalah sangat tidak relevan kerana Astro First ini sememangnya menekankan aspek eksklusif dalam filem-filem yang ditayangkan. Sekiranya perlu menunggu selama 6 bulan, itu tidaklah lagi eksklusif. Baik ia hanya ditayangkan di Astro Box Office atau Astro Citra sahaja.

~Kebaikan Astro First~

Beliau berpandangan bahawa ianya akan mengurangkan sambutan penonton di pawagam juga adalah separuh betul. Saya adalah seorang yang gemar menonton wayang di panggung wayang, tetapi saya juga pernah melanggan Astro First kerana tiada masa. Jadi, itu satu kelebihan kepada penonton. Kedua, pernahkah beliau pergi menonton wayang dan ada pengunjung membawa anak kecil dan mereka menangis semasa wayang ditayangkan? Niat mereka memang baik kerana ingin datang menonton wayang di pawagam, tetapi bila anaknya meragam dan bukan salah mereka, saya rasa sangat terganggu dan tak dapat menumpukan perhatian terhadap cerita yang sedang saya tonton itu. Mungkin penulis tersebut tak pernah mengalami situasi sedemikian, tetapi saya selalu mengalaminya. Jadi, dengan adanya Astro First, mereka dapat melanggan dan menonton di rumah selama dua hari, sekiranya anak mereka meragam di rumah.

~Saya bukan orang Astro!~

Tujuan saya menulis ini bukanlah untuk membela Astro, saya juga tidak berpuas hati dengan beberapa servis Astro. Cuma saya ingin tekankan bahawa Astro First memberi peluang kepada penonton untuk menonton filem pada bila-bila masa yang mereka suka. Jadi, ianya adalah situasi menang-menang juga. Siapa dapat menafikan bahawa menonton filem di panggung wayang lebih puas dengan sistem bunyi yang hebat, dan kini filem-filem 3D yang masih belum boleh ditonton di televisyen. Saya, saya masih berat untuk memilih menonton di panggung wayang. Jadi tak perlu anda risau.

Sampai disini sahaja, bertemu lagi kita di esok hari, InsyaAllah,
See you tomorrow,
Hasta mañana,
Wassalam.

from,
K-tea.

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Popular Post

- Copyright © Infinitesane Daily -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -