- Back to Home »
- Free For All , My Stories , Wednesday Wonder , WIWY , WIWY: During School , WIWY: Non-School »
- 안녕하세요!, こんばんは, ¡Hola! Nak Belajar Bahasa baru?
Posted by : Infinitesane 2.0
Wednesday, 6 June 2012
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pengunjung Infinitesane Daily. Hari ini saya ingin berkongsi salah satu minat saya kepada anda semua. Tapi akan ada "punch line" di hujung entri nanti
Seperti biasa, saya jangkakan entri ini akan pendek kerana saya ada perkara yang saya ingin buat. Tapi biasanya kebanyakan entri saya agak panjang. Semuanya kerana saya gemar menulis. Tapi bukan itu minat yang ingin saya kongsikan. Sebelum itu, saya ingin memberi sedikit penjelasan bahawa minat saya ini bukanlah hobi kerana minat ialah interest manakala hobi pula ialah hobby. Minat saya ingin saya kongsi di sini ialah mempelajari berbagai jenis bahasa.
~Bahasa yang telah dipelajari~
Saya belajar bahasa arab semasa di sekolah agama dahulu. Biasanya pelajar sekolah rendah di persekitaran saya akan menghadiri dua sesi sekolah. Satu ialah sekolah kebangsaan dan satu lagi ialah sekolah agama. Semasa saya bersekolah agama dahulu, saya ada belajar bahasa Arab. Tetapi pada masa itu minat untuk belajar berbagai bahasa masih belum ada dalam diri saya. Tambahan pula bahasa Arab adalah bahasa yang bagi saya sukar. Tapi, mana-mana subjek yang kita tak minat pun adalah subjek yang sukar bukan? Walaupun saya tidak begitu meminati subjek ini pada ketika itu, saya tetap terpilih mewakili sekolah saya dalam pertandingan syarahan bahasa arab, Hahaha... Saya terpilih kerana pengaruh arwah datuk sebelah ibu saya yang merupakan seorang guru besar yang agak berpengaruh di kawasan tersebut. Bila saja saya diketahui bahawa saya adalah cucu beliau, terus sahaja saya dikenali ustazah disitu. Makanya saya hanya menghafal "skrip" syarahan yang disediakan tersebut tanpa memahami maksud teks tersebut. Nasib baiklah saya tidak memenangi pertandingan tersebut. Tetapi sejak saya ada seorang kenalan facebook dari maghribi, dia agak terkejut yang sebagai seorang Islam, saya tidak memahami bahasa arab. Maka kerana kesedaran dari dialah yang menyebabkan saya tertarik untuk belajar bahasa arab semula.
Memasuki ke sekolah menengah, saya dimasukkan ke sekolah berasrama penuh (SBP). Saya tak pasti dengan sekolah biasa yang lain, tetapi di sekolah saya, setiap murid perlu mempelajari bahasa ketiga sehingga ke tingkatan empat dan diberi pilihan samada ingin belajar bahasa Arab, Perancis(sesetengah SBP German) dan Jepun. Saya memilih bahasa Jepun kerana bapa saya pernah pergi ke sana dan saya tertarik dengan kecantikan negara tersebut. Masalahnya, bahasa tersebut menggunakan kanji dalam sistem tulisan mereka. Kanji ialah huruf/simbol yang digunakan dalam bahasa Cina. jepun menggunakan beberapa simbol tersebut dalam bahasa mereka. Dan sehingga kini saya masih terkapai-kapai untuk memahami bahasa Jepun.
Memasuki Universiti, saya memilih untuk mempelajari bahasa Sepanyol. Saya tak tahu kenapa, tapi saya pilih bahasa selain bahasa Jepun kerana saya sudah tahu serba sedikit tentang bahasa Jepun. Yang menariknya, pada permulaan pembelajaran bahasa Sepanyol anda akan berfikir bahawa bahasa ini agak mudah. Tetapi tiada yang mudah dalam dunia ini. Memang, bahasa Sepanyol memang mudah untuk dieja kerana bunyinya tidak berubah seperti bahasa Inggeris dan Perancis. Tetapi semakin dalam anda mempelajari bahasa tersebut, anda akan tahu apa kesukarannya. Kesukarannya adalah dari segi tatabahasanya. Perkataan-perkataannya akan berubah-ubah mengikut peraturan-peraturan tertentu.
Dan, tak lain dan tidak bukan, bahasa Inggeris. Meskipun Bahasa Inggeris ini dikatakan sukar, tetapi di Malaysia bahasa ini digunakan secara meluas dan banyak rancangan di televisyen yang menggunakan bahasa Inggeris. Jadi kita akan "familiarized" dengan bahasa tersebut.
~Tips~
Ini adalah tips untuk membiasakan diri dengan bahasa yang anda pelajari. Sebenarnya ada satu saja tips yang ingin saya beritahu. Ia adalah dengan mencari dan mengikuti rancangan TV, mendengar lagu dan sebagainya. Anda boleh cari di internet benda-benda ini semua. Cuma masalahnya anda tidak tahu apa yang sesuai bukan? Jadi ini adalah lebih kurang macam perlukan nasib jugalah. Contohnya, anda minat cerita/rancangan/lagu Korea, anda boleh mempercepatkan proses pembelajaran anda. Kerana apa yang anda pelajari adalah bahasa formal dan di rancangan TV pula anda akan dengar bahasa tersebut ditutur denga cara yang tidak formal. Serta anda akan dapat membiasakan diri dengan sebutan dan slanga mereka. Semasa di sekolah dahulu, saya tidak ada banyak rujukan sebenarnya kerana internet adalah perkara baru ketika itu. Youtube juga belum ditubuhkan sehingga tahun 2005. Tahun 2005 saya sudahpun berada di tingkatan empat. Begitu juga di Universiti. Saya tidak jumpa rancangan yang saya minat. Saya ada mencari, tapi tak terjumpa. Saya cuba menonton "Sabado Gigante" tetapi tak melekat dengan citarasa saya. Tapi selepas saya tidak lagi pelajari bahasa-bahasa tersebut, barulah saya terjumpa dengan rancangan-rancangan yang saya minat.
Ini adalah rancangan yang jadi rujukan saya:
Bahasa jepun: "Gakkou e Ikou" (Jom ke sekolah) [1997-2008] (ya, rancangan ini bertahan selama 11 tahun)
Bahasa Sepanyol: Saya baru jumpa rancangan ini dan saya baru mengikuti dua episodnya. Dan rancangan ini disiarkan di youtube. Ini episod terbaru:
Saya menonton rancangan-rancangan yang hebat bukan? "Gakkou e Ikou bertahan selama 11 tahun dan WWE RAW akan menyambut episod ke-1000 mereka 23 Julai ini. Malangnya rancangan-rancangan yang saya tonton ini semuanya saya tonton sendiri dan tiada orang lain yang ingin terima perkongsian saya ini. Hahaha...loser...
Dan sebelum saya terlupa, kalau anda ingin belajar sesuatu bahasa, kalau ada kelapangan, kaji trend bahasa tersebut. Contohnya, anda rasa mereka yang ingin belajar bahasa melayu faham ke istilah "poyo" "apa celop" dan sebagainya? Pasti tidak bukan? Begitu juga dengan bahasa lain. Mereka pastinya ada bahasa pasar dan istilah-istilah baru dalam bahasa mereka.
Sampai disini sahaja, jumpa lagi esok InsyaAllah...
See you tomorrow,
Hasta mañana,
Mata ashita,
Wassalam.
dari,
K-tea.
p/s: respect kat profesora yang ajar bahasa sepanyol dulu sebab boleh berbahasa jepun, sepanyol, portugis dan tak tahulah berapa bahasa lagi yang beliau tahu.
pp/s: Punch line yang saya maksudkan ialah dalam banyak-banyak bahasa yang telah saya belajar, hanya bahasa Inggeris sahaja yang saya mampu tuturkan dengan agak fasih. Yang lain, Hmmm...